Sunday, March 15, 2009

Persahabatan : Nilai Keizzahan Perjuangan

Persahabatan : Nilai Keizzahan Perjuangan

Oleh Ustaz Nasaruddin Tantawi

Tiada yang lebih indah berbanding sebuah persahabatan yang diikat kukuh dengan nilai ukhuwwah Fillah pula bersulam rasa kasih dan cinta kerana Allah swt.

Persahabatan inilah menjalin tenaga dan menguatkan saf perjuangan dari ancaman pelbagai anasir yang merosakkan amal jamaei dan thiqah berjamaah .

Sendi utama persahabatan ini ialah ghayah dan hadaf yang bersatu di atas prinsip amal Islami biarpun mungkin berbeza approach dalam melaksana atau merealisasikannya .

Jamaah menjadi ceria dan anggotanya gembira apabila orientasi organisasinya berlandaskan nilai persahabatan yang menepati piawaian yang dikehendaki oleh sebuah Gerakan Islam .

Sebaliknya mendung akan mengiringi sepanjang sessi atau musim andai jamaah kehilangan nilai persahabatan ini . Tentu sahaja krisis serta konflik mudah tercetus dan paling tidak " perang dingin " sesama anggota akan wujud apabila makna sebuah persahabatan tercalar atau dibiarkan tercemar dek pelbagai virus negatif yang menular dikalangan anggota .

Justeru itulah , persahabatan menjadi modul asas bagi sebuah gerakan Islam di bumi mana pun ia beroperasi . Pelbagai mekanisma dicipta untuk melahirkan erti persahabatan yang utuh dikalangan anggota jamaah . Tamrin , mukhayyam , usrah dan liqa' fikri antara aktiviti tradisi yang diwarisi oleh jamaah sejak berzaman untuk mengekalkan tahap persahabatan yang utuh demi mewujudkan jamaah yang perkasa .

Kita juga biasa dengan istilah dengar dan taat , baiah , wala' , ukhuwwah , thiqah , husnu zon dan sebagainya dalam pelbagai medium pengisian dalaman ke arah pemantapan komitmen ahli dengan amal jamaei . Segala istilah itu juga merupakan tradisi soleh yang kita warisi dari generasi sebelumnya guna mengukuhkan persahabatan antara anggota jamaah dan memastikan perjuangan yang kita dokong ini terus kuat dan gagah meredah cabaran serta menyerap tekanan .

Implikasi mudah bagi Perjuangan tanpa Persahabatan

Sebagaimana saya sebutkan tadi , saya juga percaya semua anggota memahami betapa jamaah yang gersang dari nilai dan erti persahabatan yang dikehendaki oleh Islam ini akan mendorong berlakunya kepincangan dalam pelbagai organ parti . Antaranya :

1. Keputusan yang kedua akan dibuat atas keputusan pertama yang telah di binding oleh mesyuarat yang sah .

2. Wujudnya sub meeting . Mesyuarat dalam mesyuarat atau mesyuarat lepas mesyuarat malah lebih malang mesyuarat "kedua" atau mesyuarat di "luar" itu dibina atas dasar tidak puas hati dan tidak percaya kepada pimpinan dan sebahagian anggota mesyuarat yang lain .

3. Saling curiga mencurigai antara satu sama lain dalam apa jua penampilan dan aktiviti . Lalu mewujudkan suasana suram dan resah dikalangan pendokong jamaah . Salin tidak mempercayai .

4. Hilang wala' atau pudar ketaatan kepada pucuk pimpinan malah lebih parah apabila lahirnya kecenderungan untuk mentaati dan mempercayai pihak lain yang berada di luar jamaah .

5. Tikam belakang ! Cantas karier ! Bocor rahsia dan menjatuhkan imej akan menjadi saraf yang digerakkan sesama sendiri demi survival karier politik kononnya demi jamaah .

6. Multi jamaah dengan maksud boleh sahaja menyertai mana - mana jamaah kerana wala' tidak wajib kepada pimpinan jamaah kecuali hanyalah kepada Allah dan Rasul sahaja . Begitu juga baiah tidak ada untuk pimpinan jamaah sebaliknya baiah hanya untuk khalifah .

7. Pergeseran yang mudah mencederakan perasaan terhasil dari persaingan yang tidak sihat sesama sendiri .

8. Wujud team yang saling bertembung antara satu sama lain dan kemudiannya berlaku tajrih yang tidak wajar sesama anggota jamaah .

9. Berlepas harap dan tidak memberi komitmen yang baik terhadap aktiviti yang diamanahkan malah mudah merajuk serta kecewa kerana tidak berpuas hati dalam pembahagian tanggungjawab kepada anggota . Ianya adalah kesan dari rasa cemburu antara satu sama lain .

10. Mementingkan diri sendiri dan tidak peduli apa yang dialami oleh anggota yang lain biar pun ia satu keperluan yang mendesak . Terkadang jelas dapat dilihat sorotan matanya seperti memandang musuh kepada saudara sejamaah apa lagi ucapan terkadang berbau nista sesama sendiri . Jelasnya mudah berlaku perselisihan faham .

Bagaimana Mengukuhkan Persahabatan .

Persahabatan dapat di bina dan diperkukuhkan melalui aktiviti tradisi warisan generasi terdahulu dengan kepelbagaian pendekatan sesuai di era ini .

Semua anggota janganlah bersifat atau bersikap "kalis Tarbiyah" , khasnya pimpinan biarpun setinggi mana ia menjawat jawatan dalam jamaah . Semua peringkat jamaah mesti sedia kembali ke medan tarbiyah justeru ia suatu yang hidup dan senantiasa memerlukan persegaran merentas zaman .

Beri keutamaan kepada pemantapan wala' , syura , baiah ,taat dan semua prinsip amal Jamaei agar akhlak berjamaah dapat dipupuk .

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails